Islam adalah agama cara hidup, bukan agama untuk beribadah.
Dikatakan agama cara hidup kerana asasnya ialah idea tujuan penciptaan manusi. Tujuan penciptaan manusia disebut oleh ayat 30 al-Baqarah, yang menyebut Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi. Ertinya tujuan Allah mencipta manusia dan meletakkan di bumi ialah untuk dijadikan khalifah di bumi.
Siapakah khalifah?
Untuk mengenali siapakah khalifah kita harus mengkaji ayat-ayat yang menyebut khalifah, atau yang membawa maksud khalifah.
Ayat 165 al-Anam menyebut, Dan Dia lah yang menjadikan kamu khalifah di bumi dan meninggikan setengah kamu atas setengahnya yang lain beberapa darjat. Ayat ini menyatakan tentang asal kejadian manusia, bahawa manusia adalah makhluk yang dianugerahi dengan beberapa ketinggian darjat, dan tidak sama antara seorang dengan yang lain.
Jika ketinggian darjat yang Allah anugerahi hanya beberapa sahaja, bagaimana manusia hendak hidup di bumi kerana untuk hidup di bumi manusia memerlukan keperluan asas seperti makan-minum, pakaian, tempat tinggal, kenderaan dan sebagainya. Dapatkah seseorang manusia menyediakan semua keperluan asas ini?
Jawabnya pasti tidak. Justeru, untuk mendapatkan kehidupan yang sempurna, setiap manusia harus bergantung kepada manusia lain yang mempunyai ketinggan darjat yang lain. Manusia A misalnya hanya mempunyai ketinggian darjat tentang pertanian, justeru untuk mendapatkan pakaiannya harus bergantung kepada manusia B yang mempunyai ketinggian darjat membuat kain, menjahit pakaian.
Manusia B mungkin tidak mempunyai ketinggian darjat tentang bertani, justeru harus bergantung hidup kepada yang lain yang pandai bertani.
Situasi ini membentuk satu corak kehidupan saling bantu membantu satu sama lain. Jadi manusia yang sikapnya suka membantu orang lain itulah yang dinobat sebagai manusia khalifah.
Apakah bantuan yang boleh diberikan?
Ayat 69 al-Araf menyebut, Dan kenanglah ketika Allah menjadikan kamu khalifah-khalifah sesudah kaum Nabi Nuh, dan Allah telah menambahkan kamu kelebihan (dan kekuatan) pada bentuk kejadian tubuh kamu.
Kelebihan adalah yang berkait dengan kerohanian iaitu akal, naluri, emosi, kasih sayang, manakala kekuatan adalah yang berkait dengan jasmani seperti tangan, kaki, mata dan sebagainya.
Jadi bantuan yang boleh diberikan ialah bermula dengan menggunakan kelebihan dan kekuatan itu tadi.
Ayat-ayat tentang khalifah tidak sedikit pun menyebut tentang beribadah tetapi adalah berkenaan dengan kehidupan. Hidup saling membantu itu adalah aktiviti kehidupan.
Ayat 65 al-Anam itu juga menyebut kerana Dia hendak menguji kamu pada apa yang telah dikurniakanNya kepada kamu, ertinya kurniaan ketinggian darjat itu sebagai ujian selama manusia berada di bumi ini. Demikian juga ayat 69 al-Araf, Allah berfirman, Dan kenanglah, yang hendak dikenang itu ialah kelebihan dan kekuatan itu tadi.
Untuk menjalani Ujian dan maka kenanglah itu ialah ketika manusia berada di muka bumi, dengan kata lain ketika manusia menjalani kehidupan di bumi. Jadi dapat difahami iaitu tujuan Allah mencipta manusia dan meletakkannya di bumi ini adalah untuk menjalani ujian dan mengenang itu tadi.
Menjalani ujian dan mengenang itu adalah aktiviti kehidupan. Jadi dapat disimpulkan bahawa tujuan Allah mencipta manusia dan meletakkan di bumi ini adalah menjalani kehidupan.
Kerana inilah dikatakan bahawa Islam adalah agama cara hidup.